Friday, May 8, 2009

Latihan Bajet Rendah Semasa Ekonomi Gawat



Kita sering mendengar peruntukan belanjawan organisasi yang biasa dipotong semasa kegawatan ekonomi adalah bajet latihan. Persoalannya ialah, adakah latihan kurang perlu semasa kegawatan ekonomi?

Tidakkah dalam suasana getir, warga organisasi lebih memerlukan suntikan motivasi untuk bertahan? Bukankah kerjasama padu amat penting di saat kritikal sebegini?

Selain menguatkan semangat berpasukan dan ketahanan diri, warga organisasi juga perlu lebih kreatif untuk menjana idea-idea baru untuk menghadapi suasana yang semakin mencabar. Warga organisasi perlu lebih berani mencuba sesuatu yang baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi organisasi.

Latihan tidak semestinya memakan kos yang tinggi. Banyak premis latihan yang menyediakan pakej latihan yang menjimatkan di samping menawarkan aktiviti-aktiviti yang merangsang dan memupuk sikap positif yang amat diperlukan oleh warga organisasi.

Di Brindley Training & Camp, aktiviti berakit melatih peserta bekerjasama dalam menghadapi cabaran, aktiviti abseiling melatih peserta supaya berani mencuba manakala aktiviti ‘fire brigade’ melatih perancangan strategik dan kreativiti dalam menyelesaikan masalah. Banyak lagi aktiviti yang mencabar dan mengujakan. Yang penting, peserta tidak mengharapkan penginapan bertaraf bintang. Cukup sekadar penginapan asas dan sajian yang menyelerakan!

Friday, February 6, 2009

Berakit di Laut Latih Hadapi Cabaran



Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai

Begitu indah pantun Melayu yang mengaitkan ombak laut dengan cabaran, dugaan atau ujian. Hidup manusia tidak sunyi dari sunnah kehidupan ini. Tujuan kita dicipta Ilahi adalah untuk menguji siapa yang baik amalannya. Semangat dan daya juang kita perlu dibaja dan digilap samada dengan dugaan yang mendatang atau dengan latihan yang dirancang.

Di dalam aktiviti berakit, pelbagai nilai positif boleh diterapkan melalui pengalaman. Bermula dengan taklimat jurulatih lagi, peserta perlu faham dan akur dengan aspek keselamatan yang tidak boleh dipandang remeh. Walaupun laut kelihatan tenang, gelora ombak boleh berlaku. Aspek disiplin dan patuh kepada peraturan amat ditekankan.

Peserta kemudian diajar kemahiran ikatan. Di sini aspek keikhlasan dan ihsan dititikberatkan. Setiap peserta perlu menjalankan tugas dengan baik, mengikat buluh-buluh dengan kemas dan kuat. Sikap acuh-tidak-acuh dalam mengikat buluh boleh menyebabkan ikatan terlerai lantas rakit terburai dipukul ombak. Sifat ihsan sewajarnya tersemat di dalam hati setiap insan untuk melakukan yang terbaik kerana Yang Maha Memerhati sentiasa melihat hambaNya.

Kerjasama diperlukan sepanjang latihan dari mengikat buluh, mendayung rakit ke tengah laut, kembali semula ke pantai dan akhirnya mengemaskan semula peralatan. Di samping itu kualiti kepimpinan ketua dan ketaatan ahli juga diuji. Arahan pemimpin memacu dayungan agar mengikut rentak membelah arus. Tempo seiya-sekata akan menujah rakit mengharung ombak. Sorakan gamat membakar semangat ahli untuk mencapai misi.

Tidak tergambar kepuasan apabila bendera dapat di gapai. Namun misi masih belum tercapai. Perjuangan belum selesai. Rakit perlu di dayung pulang ke pantai. Sampai ke pantai semua perlu di rungkai kembali, di sisih dan di simpan dengan sempurna. Barulah misi dikatakan terlaksana!

Bersediakah anda berakit mengharung ombak, melawan arus dan meredah angin laut? Ianya menjanjikan satu pengalaman berpasukan yang sukar dilupakan! Bersama-sama menghadapi cabaran mengharung ombak. Buluh sama diikat, rakit sama didayung. Alangkah indahnya kiranya semangat kerjasama semasa berakit diterjemahkan di tempat kerja dan dalam keluarga, baik di bandar ataupun di kampung!

Monday, December 15, 2008



Latihan Luar (Outdoor) Merapatkan Jurang Komunikasi Dalam Organisasi.

“Di tempat kerja, saya jarang berkomunikasi dengan staff sokongan bahkan saya tak berapa kenal nama-nama mereka. Ternyata latihan luar sebegini mampu merapatkan jurang di tempat kerja yang disebabkan oleh perbezaan jawatan dan pangkat. Kemesraan dapat dipupuk dalam kumpulan kerana perlunya komunikasi dan interaksi dalam melaksanakan misi kumpulan. Saya kini lebih menghargai dan mengenali staff sokongan selepas latihan ini. Nampak kelebihan mereka dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang mencabar di sini.”
Encik Z.

“Kebiasaannya apabila menghadiri mana-mana kursus yang berbentuk seminar atau bengkel sebelum ini, masing-masing akan masuk ke bilik hotel selepas selelsai sesi. Rasa seronok pula tinggal di dorm. Lepas aktiviti terus bersembang sampailah tertidur. Terasa macam muda-muda remaja dulu sewaktu tinggal di asrama. Saya lebih mengenali beberapa orang rakan sekerja sepanjang tempoh 3 hari 2 malam ini berbanding dengan bertahun-tahun di pejabat!”.
Encik R.

“Apabila berada di dalam kumpulan yang sama, Y tidaklah sombong seperti yang saya sangka. Cuma dia agak pendiam sebenarnya. Bila kami melakukan aktiviti kumpulan bersama-sama, sikap kerjasama dan inisiatifnya terserlah. Malah saya nampak bakat kepimpinannya sering menjadi pendorong kepada ahli-ahli kumpulan yang lain. Tak kenal maka tak cinta! Saya dan Y menjadi sahabat baik selepas latihan ini”.
Cik N.

Saya teringat hadith Nabi Muhammad (saw) yang membawa kefahaman sekiranya kita ingin mengetahui hati budi seseorang, hendaklah kita bermusafir dengannya. Di dalam latihan luar sebegini, seolah-olah peserta-peserta berada di dalam kembara sepanjang tempoh latihan. Peserta-peserta latihan akan makan bersama, tidur bersama dan melakukan aktiviti-aktiviti mencabar bersama. Di sinilah peluang dan ruang untuk berkomunikasi dan bekerjasama sesama ahli kumpulan. Masa sebeginilah peserta-peserta dapat mengenali hatibudi rakan-rakan dalam kumpulan.

Latihan luar yang menggabungkan pelbagai jawatan dan pangkat mampu memecahkan tembok-tembok pemisah yang disebabkan perbezaan-perbezaan ini. Pengendalian latihan luar yang baik sepatutnya mampu mencairkan “kebekuan ais” hubungan bermula dengan aktiviti-aktiviti icebreaking. Taklimat muqaddimah pula membawa peserta-peserta ke satu senario bahawa sepanjang latihan, pangkat dan jawatan perlu “ditinggalkan” di luar kem latihan.

Di Brindley Training & Camp, kami menawarkan pelbagai aktiviti berkumpulan yang mampu mewujudkan suasana interaksi dan komunikasi antara peserta kumpulan. Aktiviti-aktiviti seperti jungle treasure hunt, explorace, pengalaman ikhtiar hidup, laluan berhalangan dan berakit memerlukan kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi untuk menjayakannya. Mahu tidak mahu, peserta-peserta kumpulan perlu berkomunikasi dan bekerjasama. Mereka perlu berdisiplin dan mematuhi aspek-aspek keselamatan. Sudah tentu mereka tidak rela sesat di hutan atau karam di laut sekiranya masing-masing seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing!

Oleh
Halimah Abd Hamid
Pengarah Urusan
Brindley Training & Camp
www.mybrindley.com 06-661 0764

Latihan Abseiling Mengurangkan Rasa Gayat




Rasa gayat dan gerun bagai menggigit-gigit jantungku. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku meminta pengecualian dari aktiviti abseiling itu. Peralatan keselamatan telah siap terpakai. Bolehkah aku melakukannya? Kalau orang lain boleh buat, mengapa aku tidak?? Aku cuba memotivasikan diri dengan bisikan-bisikan positif. Ahli-ahli kumpulan yang telah melepasi cabaran itu turut memberi suntikan semangat kepadaku dengan senyuman gembira dan isyarat ‘thumbs-up’ kepadaku sebaik sahaja mereka mendaki semula ke atas tebing.

Ketar lututku apabila giliranku semakin hampir. Batu karang dan alunan ombak laut di bawah tebing sayup kelihatan. Hembusan angin laut Selat Melaka menambah debaran hatiku. Sambil memeriksa segala peralatan keselamatan, jurulatih terus memberiku kata-kata semangat. Dengan membulatkan tekad, aku pun melepaskan genggaman perlahan-lahan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim….

Tanpa aku sedari, aku sudahpun menjejakkan kaki ke tanah. Yessss! I did it! Alhamdulillah… “Encik, boleh saya turun sekali lagi?”. Selamba saja aku bertanya kepada jurulatih yang menunggu di bawah tebing. “Betul ke ni? Tadi, lama betul saya menunggu di bawah ni”, usik jurulatih tersebut dengan senyum lebar.

Ya, aku berjaya melakukannya. Rasa yakin diri kini menyusup ke hati. Kini, aku yakin aku mampu melakukannya. Lain kali, aku perlu yakin dan berani mencuba sesuatu yang baru. Belum cuba, belum tahu. Sekiranya diberi tugasan yang mencabar, aku perlu berani melakukannya. Tentu sekali persiapan fizikal, mental, emosi dan rohani diperlukan. Aktiviti abseiling memberi pengajaran sedemikian. Taklimat, peralatan, persediaan aspek keselamatan dan suntikan semangat mempersiapkan peserta untuk cabaran itu. InsyaAllah setiap peserta mampu melakukannya. Terlintas di benakku, bagaimana ya kalau aku menarik diri awal-awal tadi? Aku mungkin tidak akan tahu bahawa aku sebenarnya mampu melakukannya.
(Coretan Pengalaman peserta di Brindley Training & Camp)

Di Brindley Training & Camp, jurulatih-jurulatih kami yang berpengalaman akan memberi taklimat tentang peralatan, aspek keselamatan dan prosedur terperinci untuk setiap aktiviti lasak. Mereka juga akan menunjukkan demonstrasi sebelum peserta melakukannya sendiri. Bagaimana pula sekiranya peserta mengalami gayat yang amat sangat? Jurulatih-jurulatih kami berpengalaman membujuk dan memberi semangat kepada mereka yang sebegini. InsyaAllah dengan dorongan, bimbingan serta suntikan semangat dari rakan-rakan, mereka mampu melakukannya! Keseronokan dan keyakinan yang terpancar di wajah mereka selepas berjaya adalah kegembiraan bagi kami di Brindley Training & Camp!

Oleh:
Halimah Abd Hamid
Pengarah Urusan, Brindley Training & Camp

Sunday, November 23, 2008

Anda ada pengalaman di Brindley Training & Camp?

Silalah berkongsi pengalaman anda di Brindley Training & Camp di sini. Sertakan alamat anda dan kami akan poskan kalender 2009 kami sebagai cenderahati.

Latihan Luar (outdoor) Memupuk Semangat Berpasukan


Advertorial @ Sinar Harian (Edisi KL & Selangor) 22 November 2008


“Sebelum ini, saya rasa malas betul nak pergi Outdoor Training. Memenatkan aje, detus hati saya. Apabila dah lalui aktiviti-aktiviti berkumpulan seperti Berakit dan Explorace, rasa teruja dan seronok pulak! Terasa sangat semangat berpasukan dan kerjasama memang amat penting untuk menjayakan satu-satu misi. Saya harap semangat berpasukan sebegini dapat diteruskan di tempat kerja”. Encik A.


“Saya dapat rasakan kerjasama dan semangat berpasukan yang amat tinggi dalam kumpulan saya. Semua ahli kumpulan main peranan untuk membuat rakit yang terbaik. Mestilah! Inilah rakit yang kami naiki semasa mengharung ombak. Masing-masing berdayung dan bersorak agar kumpulan kami menjuarai acara berakit”.
Encik M.


“Tak sangka kami wanita dapat membuat rakit dan berjaya mendayung rakit kami sendiri! Wanita boleh!! Kini kami sedar, apa saja cabaran di hadapan sekiranya kita bekerjasama dan mempunyai keazaman yang kuat kita mampu menghadapinya, InsyaAllah!”. Puan S.


Mendengar perkongsian peserta-peserta yang mengikuti latihan di Brindley Training & Camp, saya teringat slogan yang sering dinyanyikan oleh anak saya yang berusia lima tahun. “Apa yang penting, kerjasama. Kami tak besar dan kami tak kuat. Bila bekerjasama semua jadi mudah”. Itulah rangkap yang menjadi slogan siri kartun Wonder Pet yang diminati oleh anak-anak kecil.


Bila direnungi, kanak-kanak lebih mudah bekerjasama tanpa mengira perbezaan. Lihat sahaja di padang permainan. Mudah sekali kanak-kanak bermain bersama-sama walaupun belum berkenalan.


Bagi kita orang dewasa, agak sukar untuk kita bekerjasama tanpa berkenalan terlebih dahulu kecuali di dalam suasana krisis dan mencabar yang mahu tidak mahu, memerlukan kita bekerjasama untuk melaksanakan sesuatu misi. Dalam suasana begini, kesedaran tentang pentingnya kerjasama yang dipupuk dalam situasi ini diharapkan dapat dibawa balik dan diaplikasikan dalam suasana kerja. Rumusan, perbincangan dan perkongsian tentang pengajaran dari aktiviti-aktiviti luar amat penting dilakukan sejurus selepas aktiviti bagi mewujudkan kesedaran dan kefahaman ini. Justeru mengubah perlakuan ke arah yang lebih positif di dalam organisasi.


Di Brindley Training & Camp, kami mewujudkan suasana yang mencabar dan menguja peserta-peserta di dalam setiap aktiviti luar yang dijalankan. Setiap aktiviti seperti berakit, berkayak, explorace, ikhtiar hidup, merentas halangan, abseiling, flying fox dan compass marching mempunyai objektif yang pelbagai dan tersendiri. Manusia lebih mudah belajar dari pengalaman. Apatah lagi sekiranya pengalaman itu mencabar fizikal, minda dan emosi serta sukar dilupakan!


Oleh:

Halimah Abd Hamid

Pengarah Urusan

Brindley Training & Camp

www.mybrindley.com 06-661 0764